sejuta alasan cinta
Jika aku mencintaimu kerana sifatmu yang ceria,
Menjadi semangat yang menyala dalam hatiku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Bila keceriaan itu kelam dirundum duka,
Seberapa muram cintaku padamu akan ada?
Jika aku mencintaimu kerana kecantikanmu,
Meredupkan pandangan di mataku,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat kecantikan itu memudar ditempuh usia,
Seberapa pudarkah kelak cintaku padamu?
Jika aku mencintaimu kerana keramahanmu,
Memberi kehangatan dalam setiap sapaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kiranya keramahan itu tertutup kabut prasangka,
Seberapa mampu cintaku memendam praduga?
Jika aku mencintaimu kerana cerdasnya dirimu,
Membuatku yakin pada setiap pekerjaanmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Tika kecerdasan itu hilang meniti usia,
Seberapa bijak cintaku untuk tetap bersamamu?
Jika aku mencintaimu kerana sifat berdikari yang kau miliki,
Menyematkan rasa banggaku padamu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Di saat sifatmu yang manja menjengah,
Seberapa besar cintaku padamu untuk dibanggakan?
Jika aku mencintaimu kerana sifat egomu,
Menambatkan rasa kagumku pada utuhnya pertahananmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Andai tembok keegoaan itu berjaya kuruntuhkan,
Seberapa kuat cintaku yang tinggal?
Jika aku mencintaimu kerana pengertian yang kau berikan,
Menumbuhkan ketenangan dengan kepercayaan yang kau tanam,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kelak pengertian itu ditelan ego sesaat,
Seberapa banyak mampu ku mengerti cinta ini?
Jika aku mencintaimu kerana luasnya kesabaranmu,
Menambah dalamnya rasa cinta semakin ku mengenalmu,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Mungkin kesabaran itu mencapai batasnya suatu hari nanti,
Seberapa besarkah cintaku mampu memaafkan?
Jika aku mencintaimu kerana keteguhan imanmu,
Bagai siraj yang benderang mengantarkan cahaya,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Kala iman itu jatuh merundum,
Seberapa berkurang akhirnya cintaku padamu?
Jika aku mencintaimu kerana engkau yang telah kupilih sebagai cintaku,
Yang kan kupegang sepanjang hayat,
Kemudian aku bertanyakan diri sendiri,
Saat hati ini tergoncang,
Seberapa mantapkah cinta ini untuk tetap setia?
Biarpun sejuta alasan,
Tetap tidak mungkin cukup,
Membuat cintaku tetap bersamamu,
Melainkan jika aku mencintaimu kerana Ilahi,
Kerana Dia kan selalu ada,
Untuk menjaga keutuhan cinta ini,
Hingga kelak ku tak mampu lagi mencintaimu,
Kerana cintaku… berpulang padaNya.
KARYA ASAL
Aku Ingin Dicintai Kerana Allah
Hamba Allah
Aku Ingin Dicintai Kerana Allah
Hamba Allah
Comments
Post a Comment